IQNA

Surah-surah Al-Quran (72)

Ajaran Al-Quran tentang Jin

16:48 - April 24, 2023
Berita ID: 3102493
TEHRAN (IQNA) - Jin adalah makhluk misteri - ghaib yang tidak dapat dilihat. Terdapat banyak kisah dan legenda tentang jin, tetapi menurut ayat Al-Quran, jin adalah makhluk yang mempunyai persamaan dengan manusia.

Surah ke72 dalam Al-Quran disebut «جن» "Jin". Surah dengan 28 ayat ini diletakkan dalam juzuk ke-29 dalam Al-Quran. Surah ini tergolong surah Makiyah merupakan wahyu ke-40 yang diturunkan kepada Nabi Islam SAW.

Penamaan surah ini sebagai "jin" adalah kerana terdapatnya perkataan jin pada ayat pertama dan pembahasan tentang jin dalam surah ini. Surah ini merujuk kepada kisah beberapa jin yang mendengar bacaan Al-Quran dan mempercayai Islam dan prinsip agama ini:

قُلْ اُوْحِيَ اِلَيَّ اَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوْٓا اِنَّا سَمِعْنَا قُرْاٰنًا عَجَبًاۙ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan"! (Qs,Al-Jinn 72:1).

Surah Jin membangkitkan isu beberapa kepercayaan dan pendapat palsu orang tentang jin dan menjawabnya. Surah ini memperkenalkan jin sebagai makhluk misteri yang mempunyai kepintaran, ikhtiar - kuasa pilih dan kewajipan seperti manusia dan disebabkan sifat dan keadaan semula kejadiannya, manusia tidak dapat melihatnya dan tidak dapat difahami oleh pancaindera manusia yang dalam keadaan biasa.

Menurut beberapa ayat dan hadis, jin diciptakan daripada campuran yang berbahan dasar api, dan tujuan penciptaannya, seperti manusia, adalah untuk menyembah dan mengabdi kepada Tuhan; amalan dunianya akan direkod untuk kehidupan akhiratnya dan mungkin dia beriman atau musyrik; mempunyai ikhtiar memilih dari antara keduanya.

Tema utama Surah "Jin" adalah tauhid dan ketuhanan Allah SWT yang eksklusif dan penyembahan yang tulus dan penolakan menyembah selain Tuhan.

Di dalam surah ini disebutkan bahawa dalam puak jin ada dua golongan mukmin dan kafir, di antaranya ada yang soleh dan ada yang jahat, sama seperti manusia, juga ditegaskan bahawa jemputan - dakwah Nabi Islam (SAW) adalah umum untuk manusia dan jin.

Dalam surah ini, dinyatakan bahawa sebaik sahaja jin mendengar ayat-ayat Al-Quran, mereka menyedari dua sifat Al-Quran iaitu; "berbahasa Arab" dan "memberi petunjuk", puak jin terpengaruh dengannya dan mempercayainya, tetapi malangnya apabila manusia musyrik mendengar ayat yang sama, mereka mendustakan Tuhan dan mereka menyebut Nabi sebagai orang gila dan penyair.

Surah ini seterusnya menerangkan cara Allah menguji manusia di hadapan nikmatNya, menitikberatkan rasa syukur dan ikhlas beribadah kepada Allah, menolak sebarang faedah dan mudharat daripada selain Allah, dan menyalahkan orang-orang musyrik kerana kesombongan mereka.

Di penghujung surah ini, ia merujuk kepada pengetahuan rahsia Allah dan menjadikannya tersedia kepada sesiapa yang menghendakinya, serta kawalan Allah atas segala-galanya.

Menurut ayat-ayat ini, ilmu adalah milik Allah, dan Allah mengetahui ilmu yang tersembunyi dalam zat-Nya; dalam hal ini, selain Tuhan boleh mendapat ilmu rahsia melalui pengajaranNya.

captcha