IQNA

Dua dekad dibelenggu Islamophobia

11:57 - September 11, 2021
Berita ID: 3100101
TEHRAN(IQNA)- WASHINGTON: Tingkap di bahagian pemandu kereta diturunkan dan tidak semena-mena seorang lelaki menjerit ‘Pengganas’ terhadap dua budak perempuan yang bertudung.

Kejadian 2001 itu berlaku selepas bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS) diserang sehingga hancur berkecai.

Ketika itu, Shahana Hanif, 10, bersama adik perempuannya berjalan ke sebuah masjid di Brooklyn.

Memasuki tahun ke-20 peristiwa serangan 9/11 itu, Shahana masih menyimpan kemas memori menakutkan yang menyelubungi dirinya sekeluarga.

Perasaan takut sentiasa membelenggu dirinya akibat orang sekeliling yang memandang serong terhadap dirinya yang masih bergelar kanak-kanak ketika itu.

“Tiada sebarang perkataan baik dilontarkan. Hanya kekejaman dan bahaya yang menanti kami di depan.

“Namun, serangan itu membakar azamnya untuk berani bersuara bagi diri sendiri dan orang lain sekali gus membantu membentuk dirinya sekarang,” katanya.

Shahana merupakan seorang aktivis masyarakat yang menjadi calon pilihan untuk memenangi kerusi dalam Majlis Bandar Raya New York pada pilihan raya perbandaran akan datang.

Nasib yang dialami oleh Shahana itu turut dirasai oleh penduduk Islam di AS yang membesar dengan dibayangi kisah silam 9/11.

Ramai penduduk terpaksa menghadapi permusuhan, ketidakpercayaan, curiga dan ragu-ragu mengenai iman yang dianuti mereka.

SENTIMEN ISLAM MENEBAL

Dua dekad dibelenggu Islamophobia
UMAT Islam menunaikan solat di St.Paul Capitol, Minnesota.-AFP
Satu tinjauan yang dilakukan oleh The Associated Press (AP)-NORC Center for Public Affairs Research mengenai serangan 9/11 itu mendapati sebanyak 53 peratus rakyat AS mempunyai pandangan tidak selesa terhadap Islam, berbanding 42 peratus yang tidak mempunyai sebarang masalah.

Pendirian itu sangat berbeza dengan pendapat rakyat AS terhadap Kristian dan Yahudi, dengan kebanyakan responden menzahirkan keselesaan.

Pakar Sains Politik di Universiti Christopher Newport, Virginia, Youssef Chouhoud menjelaskan, masalah ketidakpercayaan dan kecurigaan terhadap umat Islam bertambah teruk selepas serangan 9/11.

Katanya, umat Islam di negara itu sering menjadi sasaran, ditentang dan dipandang rendah.

ISU PERKAUMAN

Bagi segelintir orang, peristiwa 9/11 menyebabkan berlaku isu perkauman berbeza.

Aktivis berasal dari Yaman yang membesar di New York, Debbie Almontaser berkata, kebanyakan pendatang Arab dan Asia Selatan datang ke AS dengan tujuan mencapai impian menjadi doktor, peguam dan usahawan.

“Bagi saya, sebagai penganut Islam Afrika di AS, cabaran terbesar adalah berkenaan bangsa dan identiti,” kata Imam Ali Aqeel dari Pusat Kebudayaan Muslim Amerika di Nashville, Tennessee.

utusan.com.my

captcha