IQNA

Pelajar ditembak mati di sekolah AS

17:53 - September 02, 2021
Berita ID: 3100063
TEHRAN(IQNA)- Seorang pelajar ditembak mati di sebuah sekolah di Carolina Utara, semalam.

Ketua Polis Winston-Salem, Catrina Thompson, berkata anggotanya dikerahkan ke Sekolah Tinggi Mount Tabor di bandar itu pada pertengahan hari persekolahan, susulan insiden berkenaan.

"Polis menemui seorang pelajar ditembak yang kemudian dikejarkan ke sebuah hospital tempatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia," katanya pada satu sidang media.

Selepas kira-kira setahun mengikuti pembelajaran dalam talian berikutan pandemik COVID-19, pelajar di Amerika Syarikat (AS) kembali menjalani persekolahan secara bersemuka, bulan ini.

Risiko insiden tembakan dilaporkan telah menghantui sistem pendidikan AS selama bertahun-tahun.

Dalam pada itu, polis Winston-Salem dalam kenyataan melalui Twitter pula memaklumkan, suspek dipercayai seorang lagi pelajar di sekolah itu, melarikan diri dari lokasi sejurus kejadian.

"Suspek kemudian berjaya diberkas tanpa sebarang insiden," menurut polis.

Sementara itu Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper, berkata kejadian tembakan semalam adalah yang kedua berlaku di sebuah sekolah negeri berkenaan, dalam tempoh minggu ini saja.

"Kita mesti berusaha memastikan keselamatan pelajar serta pendidik, menangkap pelaku dengan segera, dan tiada pistol dibawa ke kawasan sekolah," katanya.

Sistem kebebasan untuk menggunakan senjata yang membunuh sesama manusia dalam masyarakat sivil pasti menghasilkan tindakan yang tidak bermoral dan menyebabkan kes jenayah yang banyak dalam kehidupan masyarakat, oleh itu kedaulatan sesebuah negara harus dapat pastikan dapat mencegah kebebasan yang berbahaya ini untuk menjaga keselamatan jiwa generasi bangsa.

bharian.com

captcha